30 August 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

S
EBUAH SAJAK KEMERDEKAAN
ala
ANTOLOGI "JAMONG MERDEKA*"


setiapkali detik tiba
denting jam ogos bergema

kitapun jadi ahli tafsir membaca bijaksana
setiap rinci sejarah tamsil cuba dibuka

segala ilmu di dada melimpah ruah

dulang ditatang minyak penuh tertumpah


setiapkali sering kita tergelincir

antara butir-butir fakta dan lamunan fiksi

kitalah terbanyak mudah tertipu

mainan silap oleh mata selalu tidak percaya

kerana martabat retorika lebih mulia


setiapkali itu, kitalah hamba penjajah

menyebar bida'ah kepada anak generasi

memutar piring hitam sejarah di corong radio

cuba mempersenda junta rakyat jelata

dengan jenaka intelek bertopeng dusta

setiapkali juga, kitalah menjadi wira

mendabik dada menulis sejarah semula

dengan naratif yang tidak banyak beza

cuba membebaskan semangat merdeka
tatkala jiwa masih tergari tangannya

setiapkali denting tembaga berlaga

sebenarnya kita diuji oleh sang masa
melihat semula dengan matanurani

apa segala di depan mata
adalah sebuah maya ilusi

atau sebuah realiti bercakap
tentang kebenaran nyata!

3 jam sebelum menjelang Ogos 31

p/s * "
Jamong Merdeka" tidak ada kaitan dengan antologi "Jamung Merdeka" terbitan GAPENA kerana perbezaan ejaan "JAMONG" dan "JAMUNG".