25 September 2008


sebuah karya
Yusuf Fansuri

SEPOSEN


terimalah

seposen

jangan

ambil peduli


terimalah

seposen

kerana

undi
budi

terimalah

seposen

kerana

percaya kami


terimalah

seposen

kerana

kami bagi


terimalah

seposen

kerana

itulah rezeki


terimalah

seposen

jangan

minta lagi
!


20 September 2008



sebuah karya

Yusuf Fansuri

SUDAHLAH TU!


rekakan satu pilihan

kata-katanya adalah ancaman

untuk menghalal segala tindak

kerana kebenaran bisa saja dicipta

pembohongan adalah kebenaran diterima


sudahlah tu!

undang-undang ada tidak berguna

hukum rimba darjatnya lebih tinggi

mempertahan demi kerakusan kuasa

segala bukti-bukti boleh direkayasa

jelata umat boleh dibeli percaya


usah menjaja

hasil risik tanpa fakta

kerana itu namanya fitnah

mengapa tidak tembak sahaja

isi kepalanya biar terburai

lepas tu kau boleh ketawa!

15 September 2008



sebuah karya

Yusuf Fansuri

SANGKAR RACUN


cuba janganlah

berani melawan arus

derasnya kau akan lemas


akur pada kuasa

nescaya kau akan "merdeka"

meski sebenarnya terpenjara minda


patuh pada mamanda

kau mudah akan kaya harta

meski hakikatnya miskin jiwa


ikut para pak turut

pasti kau tak akan merungut

meski terbuktinya segala karut marut


cubalah jangan

berani melawan arus

kerasnya kau akan tewas.

14 September 2008



sebuah karya

Yusuf Fansuri

ANAK SEMUA BANGSA


semboyan ditiupkan
seolah kiamat makin dekat

dan turunlah tentera-tentera

dari perbukitan merah putih

menghunus keris menusuk angin

cuba membunuh bayang-bayang terbang


takhta daulah bergoncang

persis diserang sang garuda

jelata bertempiaran ketakutan

mencari gubuk-gubuk pelindungan


badik-badik kehausan darah

mayat anak semua bangsa bergelimpangan

burung-burung kondor menghidu bau

bangkai-bangkai santapan


gelap kian menjelma

matahari mula menutup mata

kala aku berdiri di tebing pertiwi

bumi bergegar gunung bangsa berlaga

ini malam adalah paling panjang.

12 August 2008



sebuah karya

Yusuf Fansuri

DIA YANG PERCAYA


DIA

memilih lain jalan

'tuk menuju destinasi
aspal berisiko tinggi
memacu kuda juang

meredah negara senja

DIA

insan biasa

bijak memilih

menolak laba segala

kerana lebih utama
adalah jelata umat


DIA

dibenam berkali-kali
tusuk fitnah di tubuh
tetap tega laksana

matahari menyala


DIA
yang percaya

susun atur tuhan

adalah neraca kuasa

& perancangan manusia

seringkali sia-sia

DIA
adalah sang saga api

membakar sejuta lelaki

'tuk terus hidup berbara
meski nyawanya telah tiada!



25 July 2008



Sebuah karya

Yusuf Fansuri

RADIO C 4


tranmisi ini

dari radio C4

membawa jaringan

berita-berita berlidah fitnah
ke pelosok marga


maruah disembelih

persis binatang pelihara

darah-darah jadi

minuman todi


kebenaran tak perlu

semua adalah bayang

apa yang kamu lihat

bukan grafik muslihat


membunuh harus
demi politik
lesen halal jadi berkuasa

tiada atas nama saudara


kemanusiaan
tergadai mudah
maruah tiada makna

marga-marga jadi keldai tua


O tuhan...
selamatkan ini tanah
tiadalah usaha kami

mampu hanya menadah

mengirim doa-doa sejahtera

memohon menolak segala bala!

23 July 2008

sebuah karya
Yusuf Fansuri
SEBILAH PISAU

kaukirim
sebilah pisau berdarah
dalam lipatan hasutan
untuk aku percaya
bahawa bukan kau
seorang pembunuh!



29 April 2008



sebuah karya

yusuf fansuri

JERAT SESAWANG


pantai telah berubah

di landa gelombang bah

daulah ditimpa gundah


memanda perdana

menutur titah

malang apa yang melanda?

bukan salah keris
menembus rusuk langit

ada musibah tak terjangka


sempadan telah diatur

lidah akhbar telah dicuci

tivipun telah di empunya milik


apa silap lagi

statistik bijak berperi

semuanya kini sudah jadi realiti


tiba-tiba mimpi

seorang timbalan nujum

khilafnya pada teknologi


rupanya daulah terperangkap

dalam jerat sesawang bloga

nadim yang terpaksa dikorban nyawa.

03 April 2008



sebuah karya

yusuf fansuri

PEMADAT POPI GLORI


akulah pemadat

popi glori

gian segala

puji


berilah padaku

anugerah

untuk aku
bermegah


berilah padaku

pangkat

untuk aku
berdarjat


akulah pemadat

popi glori

ketagih segala

glorifikasi.


sebuah karya
yusuf fansuri

PELURU AMOK


tiba-tiba suara amok

mendabrak jeritan
entah beratah


keluar dari
pertapaan rimba

hampir seabad
memendam rasa


membawa
sepatang patah

meliar mata
mencari mangsa

untuk dicabuk perutnya

biar terburai segala usus


jangan cuba
bermain peluru

kerana aku tahu
usul
segala besi
segala jadi


akulah wira
segala pekasa

keturunan dewata raja

punya kuasa sakti semberani!

10 March 2008


sebuah karya
Yusuf Fansuri

DADU-DADU


dan dadu-dadu

dilambung tinggi
nasib rakyat diperjudi

demi mempertahan

sejuta kedunguan

monyet-monyet

berkepentingan

alasan demi alasan
disusun jadi papan jigsaw
cuba sembunyi gajah mati
di celah-celah batas padi

diajar mengeja orang-orang buta
diajar mendengar orang-orang tuli
diajar berkata-kata orang-orang bisu

dan dadu-dadu
tetap kekal di atas meja taruhan
nombor-nombor penentu masa depan
tiapkali kita cuba menaruh harapan...

sebuah karya
Yusuf Fansuri

BOLA-BOLA API


di langit

bola-bola api

membakar angkasa

matahari padam

pintu kebenaran

tertutup rapat

dan tiba-tiba

manusia jadi malaikat.

14 February 2008



sebuah karya
Yusuf Fansuri

LOTERI PELURU


pada waktu begini

ramai akan membelek-belek

ruang akhbar utama daulah

menunggu verdik loteri lumayan

untuk kaya sehari untung sebulan
rugi setahun bankrap sepenggal

pada waktu begini

riuhlah menyarung jubah

dari sesat menjadi malaikat

dari tipu menjadi mukjizat
dari muslihat menjadi hikmat

pada waktu begini

mudah sangat kita tertipu
silap mata dan bijkasana kata
pabila harga retorik lebih mahal
daripada nilai fakta nyata.

10 February 2008



Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
MENJELANG PILIHAN(JOM!)RAYA


tiapkali
menjelang
detik pilihan
setiap janji taruhan
ditulis berjela-jela
di kertas berwarna
untuk diagih
ke pelusuk
ceruk

tiapkali
menjelang
detik pemilihan
racun-racun fitnah
disuntik pada hewan
agar mudah menurut
segala perintah
tak mudah
melawan
tunduk
angguk



03 January 2008



Sebuah Karya Yusuf Fansuri
MENELANJANG KEBENARAN


nah!
di hadapanmu
segala telah terbuka
jelas susuknya
jelas lekuknya
jelas lurahnya
tiada ruang untuk sembunyi
di dalam baju
di lipatan siku
maupun di celah-celah bulu.

nah!
lihatlah sebatang hipokrit
dengan mata terbuka
lihatlah sekujur realiti : saksi tak pernah berdalih
walau dicabar seribu pendakwaraya.

nah!
tanyalah diri
kebenaran tetap kebenaran
kebenaran bukan pilihan
kebenaran adalah kenyataan
walau sejuta usaha
cuba untuk ditelanjangkan!